Life is short, yesterday will never return..so bear your hardship with serenity and hold a good opinion of your LORD

Showing posts with label UPSR. Show all posts
Showing posts with label UPSR. Show all posts

Wednesday, November 18, 2009

Keputusan

Esok keputusan UPSR. Kenyataannya amat ringkas. Harapan menggunung tinggi, baik di pihak ibu bapa mahupun di sebelah pihak lagi- guru-guru. Keputusan yang bakal keluar, secara tidak langsung menggambarkan prestasi dan reputasi. Mungkin ianya sekadar satu generalisasi yang juga amat ringkas. Padaku kenyataan itu 50-50....boleh jadi ia, boleh jadi tidak. Tetapi..secara ilmiah, selepas taakulan yang dalam dan amat dalam dilaksanakan; mungkin ada hikmahnya jika keputusan tidak seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Ya...rama2 tidak terus menjadi seekor rama2 yang cantik, sebaliknya bermula dengan beluncas yang sedemikian rupanya. Tiada yang memuji atau memuja beluncas. Begitu juga halnya dengan keputusan UPSR kali ini...usahlah kita menghakimkan sesuatu yang kita mungkin tidak tahu hikmahnya.

Kepada para ibu bapa yang membaca entri ini...usahlah dibebankan fikiran anak2 dengan cara yang melulu, sebaliknya berilah kata2 perangsang untuk memotivasikan mereka. Sungguh....nasihat dan motivasi daripada ibu bapa sebenarnya lebih baik daripada mana2 pakar motivasi yang ada dalam dunia ini. Bukankah kita sepatutnya lebih mengenali anak2 kita sendiri? Kita jualah yang lebih faham masalah mereka..justeru kita cuma boleh mengharapkan orang lain 'membantu' kita mengubah peribadi atau sikap anak2 kita..tetapi kitalah nakhoda utama yang sepatutnya membantu mereka mengemudi pelayaran kehidupan mereka sampai saat dan ketika mereka sudah mampu berlayar sendiri. Janganlah ditambah kesedihan mereka yang sudah sedia dalam kesedihan. Kita pastinya pernah merasai erti gagal dan kecewa...bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Apakah yang dituturkan ibu bapa kita? Mari kita ingat semula, manis...atau pahitkah yang kita rasa tatkala 'menelan' kata2 ibu bapa kita? Ya...lain orang, lain bentuk motivasi yang diperlukan, justeru kita bersedialah memberi kata2 perangsang kepada anak2 kita apabila mereka memerlukan kita berbuat demikian.

Adalah menjadi masalah yang 'besar' jika kita tidak boleh menerima kenyataan bahawa sebagai manusia, kita pasti akan diterjah kekecewaan akibat kegagalan. Gagal tidak semestinya mendapat 'D' dalam peperiksaan, atau kecundang dalam sebarang ikatan, atau tidak dapat apa yang diidami...tetapi ianya sesuatu yang bersifat subjektif lagi relatif. Ibaratnya ada manusia melihat dosa yang kecil seperti sebuah gunung...ada pula yang melihatnya seperti seekor hama. Begitu juga halnya dengan kegagalan. Ya..ada yang mengatakan hitam itu menawan, ada juga yang mengatakan sebaliknya...Padaku, gagal menjadi prasyarat sebuah kejayaan. Bagaimana? Fikirkanlah...

Aku pernah diasak anak2 didikanku dengan soalan2 seperti.."kalau anak cikgu tak dapat 5A, cikgu tak marah?" Jawapanku mudah, "tidak" dan telahpun kubuktikan. Pasti tidak. Ya.. hidup bukan sekadar peperiksaan dan kejayaan holistik lebih penting. Berkeperibadian tinggi dan mampu menongkah arus hidup dengan baik, dan yang paling u.t.a.m.a ialah mampu menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Mampu berbuat baik dan memberi kebaikan kepada makhluk lain, insyallah. Moga Allah tetapkan pendirian kami dan anak2 kami serta mempertingkat iman kami, hari demi hari. Mendengar kata2 anak2 didikanku adakalanya melukakan perasaan; "bagusnya kalau cikgu jadi emak saya...". Huh... kalau aku sendiri sebagai ibu mendengar kata2 sedemikian terbit dari mulut anakku, pasti aku akan berasa sangat sedih. Sangat sedih sekali.

Esoklah harinya. Lantaran itu..marilah kita panjatkan doa untuk semua anak2 kita yang bakal menerima keputusan esok, mohon Allah cekalkan hati mereka. Sesungguhnya, mereka masih muda, masih belajar. Dan antara pelajaran yang penting adalah bagaimana untuk menghadapi, menerima dan bertindakbalas terhadap kejayaan dan kegagalan (i.e: kekecewaan) dalam kehidupan mereka. Buat anak2 didikanku semuanya; doa ku mengiringi kalian, moga berjaya dalam kehidupan kini dan selepasnya. Sekali lagi ibu bapa, kasihanilah mereka...

Tuesday, November 10, 2009

Pergi

Innalillahi wainna ialaihi raji'un...dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali...berita yang kuterima daripada ayahanda di talian telefon mengocak ketenangan hatiku. Bapa saudaraku sebelah bapa, Pak Teh Abas, telah kembali ke Rahmatullah pada lebih kurang jam 12 tengah hari tadi. Hujan renyai mengiringi berita itu...entah satu kebetulan, atau apa pun...aku tetap merasakan kesedihan yang sememangnya patut dirasakan sebagai seorang anak saudara yang pernah rapat dengannya pada satu ketika dahulu. Memori  ketika  membesar di kampung, menggamit ingatanku (apatah lagi Idah, anak perempuan bongsu Pak Teh,  sebaya denganku menjadi teman sepermainan & pengapit pada hari perkahwinanku). Kupanjatkan doa..moga rohnya aman di persemadian, dilimpahkan rahmat belas kasihan PenciptaNya, di tempatkan di kalangan orang yang soleh. Ya Allah, kasihanilah hambaMu ini...ampunkanlah barang sebesar manapun kesilapannya sewaktu hayatnya dikandung badan. Lalu, kusedekahkan Fatihah..menjadi bekal di perjalanan abadi.

Iya. Aku tidak pulang ke kampung halaman di Kuala Pilah. MrF yang awal2 kuhubungi memberikan rasional; kami telah berjumpa Pak Teh pada Eidul Fitri yang lalu.Urusan kerja menidakkan keperluan untuk pulang menziarah dengan kadar segera. Pulang itu sebenarnya keutamaan buatku tapi Fqueen sedang menduduki peperiksaan akhir hari ini. JuniorF batuk dan selesema. Dia juga punya konserto di Auditorium Rehal (Islamic Art Museum) untuk dihadiri hujung minggu ini. Aku sendiri...mengepalai jawatankuasa majlis tahunan di sekolah.MrF dengan projek DEMC di Shah Alam.Tak mungkin cuti akan diberikan..! Huh, menimbang segala-galanya, di talian telefon kami putuskan...akan pulang pada Jumaat petang, menziarahi Mak Teh pada keesokannya dan kembali ke KL sebelum rehearsal JuniorF bermula.

Subhanallah... sesungguhnya 'kerja' Allah  penuh rahsia. Mengungkap pertemuan akhir kami pada eid lalu, hati menjadi sebak. Pak Teh amat uzur di atas kerusi roda..tapi punya kekuatan untuk bersama2 keluarganya meraikan kehadiran kami sekeluarga yang bertandang di rumahnya. Uzur dan dalam payah...cuba berbicara.  Tatkala aku mohon izin untuk pulang, sempatku berpesan agar Pak Teh bersabar atas 'rezeki' uzur-nya, sebak dia memohon maaf atas kesilapan yang lalu. Fqueen memberitahu lewat petang tadi, sejurus mendengar khabar pemergian 'atok' itu, dia masih teringat Tok Teh merenung wajahnya dalam2 sebelum perpisahan...Begitulah, kenangan yang akan tersimpan selama-lamanya dalam ingatan selagi ada izin Allah. Sesungguhnya, tiada apa yang mutlak menjadi milik kita..dan mati tidak mensyaratkan umur tua, kerana ajal itu tidak menjemput kita berdasarkan umur. Entah esok, entah lusa, siapa tahu, mungkin giliran kita pula yang terpilih mengadap Allah Azzawajalla....mohon belas kasihan dan rahmatNya, biarlah kematian kita tiba dalam keadaan yang 'mulus',  husnul khatimah yang disebut2 dalam doa..

Jumaat ini- MAC. Tugasku sehari dua ini lebih berkisar kepada persediaan MAC dan tugas2 aliran. Sementelah dua minggu lagi sesi persekolahan 2009 akan berakhir..tugas sebagai pendidik seolah2 mencapai 'kemuncak'. Insyallah, keputusan UPSR akan keluar pada minggu hadapan. Hari? Wallahua'lam...namun debarannya pasti sudah terasa. Tiada yang boleh meneka keputusan yang bakal keluar melainkan hanya doa agar 'pisang berbuah dua kali'...seperti kejayaan dalam UPSR 2008. Begitu juga halnya dengan calon2 STPM/SPM yang bakal menduduki peperiksaan pada Isnin & Rabu depan. Doa buat calon2 dua peperiksaan besar ini, moga kalian beroleh ketenangan menghadapi peperiksaan dan seterusnya merangkul kejayaan cemerlang agar kalian juga dapat berpergian kelak. Insyallah...pergi melanjutkan pelajaran sebagaimana yang dicita2kan oleh kedua2 'orang tua'...