Life is short, yesterday will never return..so bear your hardship with serenity and hold a good opinion of your LORD

Sunday, November 29, 2009

Kampung Halaman

Terima kasih. Terima kasih atas ingatan kalian (MrF, Fqueen, Nurul, Suza, K.Ieta, Izwa & guys..you know who you are!), atas birthday wishes yang dihantar, sama ada melalui telefon, sms, mms, mahu pun di laman facebook....Kuakui bahawa ulang tahun kelahiranku tahun ini mungkin menjadi ulang tahun  yang paling bermakna dalam hidupku kerana harinya bersamaan Eidul Adha. Walau tanpa kek atau majlis yang 'gah', ucapan 'live' oleh  ahli keluarga terdekat; ipar duai & anak2 saudara sewaktu menjamah hidangan pada pagi eid itu amat membahagiakan, membangkitkan rasa keakraban yang agak berbeza auranya. Itu sudah jauh daripada mencukupi, kerana...uh, entah tahun depan berkesempatan entahkan tidak merasainya lagi...

Begitulah kita. Manusia biasa yang sebenarnya mengharapkan kewujudan kita di'rasai' oleh insan lain di sekeliling kita. Lalu bagaimana sepatutnya? Padaku, ulangtahun kelahiran sebenarnya tidak mendatangkan apa2 kesan kepada kehidupan...tetapi jika ada yang ingat akannya, baguslah. Ia cuma 'satu peristiwa' rutin yang berlaku hanya untuk menambah angka kepada umur kita..sedangkan secara hakikatnya kematangan tidak bergantung kepadanya. Lihat sahaja di luar sana..masih ramai insan yang jauh sudah berumur, tetapi tingkah lakunya & (lebih malang lagi) daya pemikirannya, gaya hidupnya tidak signifikan dengan umurnya. Di sebaliknya pula, ada insan menemui 'kematangan' pada usia muda..Iya, inilah hidup.

Alhamdulillah....merayakan eidul akbar yang lalu, kuterima dua perkhabaran daripada keluarga di Senawang. Yang pertama, bonda menceritakan tentang kehadiran pegawai Jabatan Agama Islam Negeri yang membawa khabar pencalonan allahyarham datukku; sebagai 'Tokoh Ulama'. Alhamdulillah kerana masih ada yang mengingati beliau walaupun telah lebih 40 tahun beliau mengadap Penciptanya...Justeru, banyak yang dibincangkan tentang gelaran tersebut; khususnya dari sudut pro & kontranya. Ya, gelaran tersebut, padaku tidak sepatutnya membuahkan rasa bangga. Tidak sama sekali. Apatah lagi tuan empunya nama telah tiada lagi di dunia fana ini. Yang tinggal cumalah legasi, tempat tinggalnya, keluarganya, dan namanya (yang turut diabadikan pada sebuah jalan kecil di kampung kami). Iman & kewarakan beliau,wallahua'lam kerana seperti lirik nasheed kumpulan Raihan, "iman tidak diwarisi..." sedangkan itulah yang paling penting. Itulah 'pusaka' yang sepatutnya direbutkan oleh anak2...bukan harta yang selain daripadanya kerana itulah yang akan kekal bersama kita setelah hayat tidak lagi dikandung badan. Tetapi kuimbas semula kata2 MrF, setidak2nya dengan gelaran & nama itu...anak2 dan cucu2 akan berfikir dua kali jika mahu melakukan sesuatu yang mencemarkan. Selain itu, kalau difikirkan sangat pro & con, maka tidak mustahil akan menjadi seperti kisah  dua orang  lelaki; si ayah & si anak bersama seekor unta..lalu itulah juga kewajaran yang kuucapkan kepada Fqueen.

Justeru, selain berziarah, sempat juga kuluangkan masa 'menyelongkar' khazanah allahyarham datukku itu di rumah tua di kampung halaman kami. Yang kutemui bukanlah sekadar catatan perkhidmatannya sewaktu bertugas sebagai kadhi di daerah K.Pilah, tetapi juga maklumat keluarga yang tidak kurang pentingnya. Catatan perjalanannya menuntut ilmu yang paling menarik perhatianku kerana turut disertakan nama pembiaya pengajiannya, nama2 pondok pengajiannya serta nama guru2nya. Daripada maklumat yang ada, baru kuketahui bahawa antara guru2 allahyarham ialah Tn  Hj Mohd Salleh Masri, Tn Hj Ahmad Muda (Kg Langgar), Tn Hj Md Yassin & Tn Hj Abdullah Fahim  (yang juga datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Berbalik kepada berita yang kedua pula, ialah berita pertunangan anak saudara sulung kepada abang sulungku yang bakal diadakan pada 25 Disember ini. Huh, sudah besar panjang rupanya anak2 saudaraku...bererti sudah 'tua' jugalah ibu2 & bapa2 saudaranya. Iyalah, itu Kak Long, masih berjuang dgn kuliah mastersnya...Imran juga tidak kurang kacaknya. Kak Ngah pula nampak sudah semakin matang & semakin ayu dengan imej barunya. Iva, nampak semakin sibuk dangan pengajiannya di UiTM....alhamdulillah, semuanya kelihatan semakin baik....harapan & doa kupanjatkan, moga anak2 ini menjadi anak2 yang baik. Begitu juga anak2ku.....

**********************************************************************************

Pada 11 Zulhijjah juga aku turut berkesempatan menjengah keadaan Mak Teh, Kak Ana & keluarga di Kg Tengah bersama keluargaku & ayahanda. Ya..ayahanda ku juga sudah kelihatan uzurnya..manakan tidak, umurnya telah melebihi 70, justeru jarang sekali mahu memandu keretanya sendiri. Menjengah Mak Teh di kampung ayahandaku itu menunaskan sedikit rasa sedih apabila mengenangkan seorang demi seorang generasi bapaku yang telah 'pergi' menghadap Allah SWT.  Khabar Kak Ana, allahyarham bapanya telah berwasiat tentang sedikit harta yang ada..dan wasiat itu amat memudahkan mereka sekeluarga. Tidak timbul soal perebutan harta pusaka...Alhamdulillah, itulah yang sepatutnya..lalu Kak Ana mewajarkan konsep wasiat dalam kehidupan kita sebagai mana yang dituntut oleh Islam.

Pulang dari kampung halaman ke Seremban semula, kumemilih mengikut jalan Sri Menanti. Hati tergerak meninjau Mak Engku Barizah, Wena, Nita & Kak Titi buat melepas rindu pada zaman lalu..rupa2nya Mak Engku kini sedang bepergian  menunaikan tuntutan rukun Islam yang satu itu..namun kesempatan bersama Kak Titi sudah cukup bermakna....dan pulang itu,sempat juga menunjukkan sekolah tempat kuberpraktikum lewat tahun 95, singgah di padang istana Sri Menanti. Ibaratnya...bagai melancong di kampung sendiri.....





Wednesday, November 25, 2009

Eidul Akbar

Hampa dengan senario yang sama. Hampa dengan kata2 yang terucap. Hampa dengan situasi yang ada. Mengapa? Sukar dan susah untuk diperjelas. Jauh di sudut hati, kehampaan yang hadir sukar diusir pergi. Ibarat cuaca yang sukar ditelah sejak kebelakangan ini, begitulah kondisinya. Inilah ujian. Disangkakan panas akan berpanjangan, rupa2nya tidak pula begitu. Mendung tiba lagi. Kusut seperti tak mungkin dileraikan.


Biarlah kuperjelaskan. Kita tentunya biasa dengan perkataan ‘breakdown’. Komputer, perasaan, sistem elektrik.. semuanya boleh mengalami ‘breakdown’. But it is none of the three I mentioned before…its COMMUNICATION BREAKDOWN. Well, the first question my friend asked me at the moment she knew that  I’m a blogger now, was “why blogging?” My answer was so simple, yet meaningful. “I am facing a communication problem with my superior. So, I chose this kind of communication..as an alternative way to deliver my message.Yes, my dear…kumemilih blog sebagai medan untuk meluahkan rasa hati dan mengutarakan pendapat kerana aku sudah hilang kepercayaan terhadap komunikasi sebagaimana selalu. And the utmost..to share my thoughts.  Lantas, sejajar dengan perkembangan ICT.. inilah jalan alternatif buatku. Pada awalnya, blog ini sunyi sepi tanpa sebarang kunjungan. Biarlah…yang penting itulah perasaanku ketika itu. Bahaya mengalami ‘communication breakdown’ sebenarnya mempunyai natijah yang amat besar. Senario itu bisa membataskan keupayaan manusia dalam apa jua bidang , melumpuhkan daya cendikia dan mengehadkan sosialisasi sesama manusia. Ya, tiada yang akan berkembang tanpa komunikasi. Pemikiran akan berubah menjadi sangat2 jumud. Justeru, inilah dia…namun begitu, lain pula 'kegemparan' yang melanda pagi tadi apabila ruang kecilku ini disalahertikan. Sarananku...bacalah, kemudian barulah mengadili ruang ini beserta coretannya.


Kehampaan awal yag disebutkan sedikit terubat dengan ketibaan Eidul Akbar. Ya, inilah waktunya kemuncak keimanan manusia kepada Allah SWT diinsafi dan 'diraikan'. Kemuncak...kerana kesanggupan Ibrahim (makhluk ciptaanNya) mengorbankan Ismail atas perintah Rabbul Jalil. Signifikan eid ini dalam kehidupan kita yang mengaku muslim (mukmin?), sesungguhnya segala2nya yang dilakukan dalam hidup kita wajiblah berpaksikan syahadah kita. Syahadah yang mengandungi pengakuan bahawa Allah-lah segala2nya..Tidak timbul soal melakukan pengorbanan demi si dia, ibu, anak atau sesiapa pun, sebaliknya hanya sebagai mendambakan diri kepada Allah semata2.Selain itu, dengan ketibaan eid ini, kuturut mengakui bahawa demi kasih sayang yang acap kita ikrarkan juga, kita seharusnya sedia berkorban dalam konteks yang sedikit berbeda. Contohnya, untuk membahagiakan anak2,suami, ibu bapa, keluarga, mahu pun dalam konteks yang lebih luas; teman2, rakan sekerja, majikan- yakni untuk menjayakan hubungan sesama manusia (hablum minan nas) tentunya ada pengorbanan yang sesuai yang perlu kita lakukan. Pastinya setiap seorang daripada kita pernah melaluinya kerana kitalah insan itu- yang bergelar anak, isteri, ibu, teman dsb. Analogi pengorbanan yang amat mudah- anak2 kita mengorbankan masa senggangnya dengan menelaah, untuk menggembirakan hati kita, si ibu. Kita sebagai anak & menantu pula berbondong2 pulang ke kampung bagi meraikan eidul adha bersama2  si ibu tua dengan melupakan kekangan yang ada. Mudah difahami, bukan?

Selain itu, signifikan pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tersebut juga menguatkan keyakinanku bahawa, sesungguhnya kita, sebagai manusia yang biasa2...tidak mungkin terlepas daripada ujiannya. Ujian kehidupan yang hadir dalam pelbagai bentuk, baik yang dihadapi secara langsung atau sebaliknya. Ujian datang dalam bentuk kekayaan, kesejahteraan, kesenangan, kekuasaan, kemiskinan, kesusahan, karenah suami, isteri & anak2 dsb. Justeru, dengan keyakinan tersebut, wajarlah kita, baik siapa pun kita, atau setinggi mana pun kita berada... menginsafi betapa kita hanyalah sekadar seorang manusia kerdil yang kelak akan bernoktah di hadapan Allah. Dan demi keinsafan itu juga, sempena Eidul Akbar yang tiba, kupohon kemaafan atas segala keterlanjuran tingkah laku, kesalahan tutur kata dan bicara, khususnya yang mengenaliku secara langsung.

Buat jemaah haji yang kini menjalani ibadah penyatuan umat Islam di Tanah Suci Makkah al Mukarramah; saudara-mara, teman-teman dan kenalan, moga ibadah kalian diterima Allah dan moga kalian memperoleh haji mabrur. Juga yang di sini, moga ibadah kita juga diterima Allah serta dipertingkatkan kualiti keimanan kita. Kepada yang memandu, memandulah dengan berhati2, dan korbankan ego 'jaguh kampungan' di jalan raya demi keselamatan orang2 di sekeliling. Moga kalian selamat tiba di destinasi; bukan destinasi akhir.Buat  teman2 yang sudi memahami,thanks for the great time @ Laksa Shack. Laughter is a good medicine, right? Selamat bercuti, dan sekali lagi, maaf untuk segala kesilapan..

Tuesday, November 24, 2009

Terima Kasih II

Lupa. Dihambat lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak yang bertanggung jawab memastikan Bilik Kecemerlangan diberi nafas baru. Bilik itu amat bermakna, pastinya bukan sekadar padaku...tapi pada teman2 yang lain juga. Terima kasih juga Kak Zu, CC yang sering melawat. Ya..dari bergelap, kini sudah terang. Terima kasih, dengan perisiannya yang juga serba baru..menguatkan semangat bahawa setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmah. Begitu juga keputusan baru2 ini. Untuk yang mengaitkan 'kemalangan' pada bilik ini dengan keputusan lalu, sesungguhnya Allah 'bertindak' penuh rahsia.....Insyallah, sesi 2010, kami akan mulakan langkah dengan semangat yang lebih 'baharu'...

Cruise To Nowhere

Syukur….masih bernafas, hidup dalam iman dan dianugerah Islam sebagai ad din. Seluruh keluarga, hidup dalam kesejahteraan dan kesihatan yang baik. Sebelum kumemandu ke sekolah awal2 pagi, sempat meninggalkan sarapan buat dua beradik yang bakal ditinggalkan. Berpergian meninggalkan mereka untuk melunaskan tuntutan tugas, melakukan apa2 sahaja yang difikirkan perlu..dan Alhamdulillah..semuanya dapat dilaksanakan seperti yang sepatutnya, dalam gempita seloroh yang mewarnai suasana bilik guru. Ya…suasana begini amat merangsang semangat untuk bekerja bersama2, walaupun ketika dihambat kesibukan.

Ya…sementelahan Kak Ita sudah menyiapkan tugasan panitia kami, kuambil kesempatan membantu Suza menyelesaikan stok panitianya. Kukira tindakan itu wajar memandangkan panitianya mempunyai stok CD yang berkotak2, natijah pelaksanaan PPSMI beberapa tahun lalu.

Seawal pagi tatkala baru menjengah ke pejabat, kuturut disapa Kak Win. Huh, rupa2nya blogku telah menerima kunjungan hormatnya..  "owh, ada yang pedas juga" katanya. Buat Kak Win & 'orang2 admin', mohon maaf kalau ada tulisan yang menyinggung. Begitu juga yang lain, kalau  kalian ‘tersinggah’ di blog yang satu ini, mohon setinggi2 maaf andai ada yang menyinggung hati/perasaan kalian.

Sungguh & sesungguhnya, coretan dalam entri2 yang terpapar kusifatkan hanyalah sebagai wadah melahirkan rasa yang terbuku di hati. Tiada yang lain…Harapanku dalam penuh kerendahan hati, biarlah kita sama2 berkongsi manfaat daripada coretan yang ada, itupun jika wujud di celah bait2 perkataan. Andai ditunggu individu yang berakhlaq sempurna, kukira misi dakwah Rasulullah akan terhenti kerana hanya bagindalah manusia  berakhlaq paling sempurna yang pernah wujud di muka bumi Allah ini. Tiada yang lain selepas baginda…

Cruise To Nowhere”…andai kita melakukan sesuatu dengan tidak ikhlas. Justeru, insyallah, tulisan ini lahir dari nurani yang amat hampir dengan kalian, dari dalam kalangan kalian juga. Marilah kita sematkan dalam diri kita,dalam2…bahawa kerja yang tidak ikhlas, hanya mendatangkan kerugian di dunia & kerugian di akhirat. Sematkan juga dalam hati bahawa, Allah itu CEO kita, justeru insyallah..dengan menyematkannya akan menjadikan kita professional dalam apa jua kondisi. Kesilapan, baik dalam melaksanakan tuntutan kerjaya, mahupun tatkala melayari hidup seharian, sebagai ibu bapa, anak, waimma siapa pun kita…adalah lumrah manusia. Ketidaksempurnaan kita itulah petanda bahawa kita manusia yang sempurna.

Tulisan dalam entri2 yang ada juga, kukira bukan untuk membidas secara semberono..tidak jua memihak kepada sesiapa, sebaliknya insyallah akan kuusahakan untuk terus mengekalkan sifat neutralku dalam entri2 seterusnya. Kita sendiri tidak seharusnya sentiasa betul, dan tidak mengapa tersilap. Yang penting, KITA, biar di pihak manapun kita berada, sama2 sanggup melakukan perubahan. Owh, bukan mudah untuk berubah, khususnya ke arah yang lebih baik. Kekangannya amat banyak. Justeru, kata2 orang nombor satu di tempat kubertugas sewaktu Contact Time semalam mendatangkan kesan yang amat dalam. Syabas kepada beliau kerana berani menguar2kan perubahan yang bakal dilakukan. Masih berharap, moga perubahan tersebut dapat dilaksanakan secara bersepadu & saksama. Usaha kolektif semua tentunya diperlukan beliau, bukan sekadar untuk menyokong langkahnya, bahkan juga untuk merealisasikan perubahan seperti yang diharap2kan. Seperti tajuk sebuah buku motivasi yang menyapa minda, none of us is as good as all of us. Dengan izin Allah, usaha yang jitu akan dapat memacu arah & suasana organisasi ke arah kebaikan yang bermanfaat.

Teringatku kepada pembentanganku dalam kuliah yang dipermudahcarakan oleh seorang professor sewaktu menuntut- tajuknya: Pengurusan Perubahan Dalam Organisasi. Untuk merancang perubahan, kita perlu melakukan:1. Analisa jurang 2. Penentuan Matlamat 3. Metodologi 4. Strategi 5. Penilaian. Uhh..sebelum berpisah, marilah kita renungkan kata2 yang kupetik dari sebuah majalah Islamik yang kubaca..”untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Untuk membaiki manusia, baiki hatinya..

Saturday, November 21, 2009

Suara II

Sepagi melunaskan tugas sebagai suri rumah tangga dengan tanggungjawab rutin. Selesai satu persatu....semuanya kerana annual gathering yang perlu dihadiri seawal jam 1.00 tengah hari. Hati berbelah bahagi ....mungkin kerana 'mood' yang hadir dalam diri tampil pelbagai corak dan warna.

Bersua Suza, segala2nya berubah. Yelah, aura seorang teman yang memahami kembali menceriakanku. Alhamdulillah, sekurang2nya kupunya teman yang sama2 boleh menghadapi 'almost' semuanya...gembira, sama2 menangis, suka & duka..syukur kupanjatkan kepada Allah kerana tidak semua orang diberi kesempatan punya sahabat (dalam ertikata sebenar) olehNya. Utamanya, sebagai manusia kita sentiasa dilingkungi kesilapan yang pastinya tidak dapat dilihat kita sendiri. Lalu kerana itu, kita memerlukan sahabat yang boleh menegur, membimbing, berunding, berbicara dengan seikhlasnya dengan kita agar kita tidak terus tenggelam dalam 'kiasu' atau kesilapan yang dicipta tangan sendiri.

Alhamdulillah, boss nombor satu dan orang kanannya berkesudian berpergian bersama2 kami. Setelah berbincang bersama Suza, pro & cons dan natijah  ke annual gathering tesebut bersama2 mereka, kami mencapai kata putus. Ada baiknya....setidak2nya kami dapat menunjukkan bahawa perhubungan kami dengan pihak Admin dilingkungi suatu garisan yang sangat/amat halus. Ada waktunya kami bercakap berlandaskan kedudukan sebagai 'orang  bawahan'  dan ada ketikanya kami perlu beritindak di luar lingkungan tersebut. Ya, garisan halus itulah yang 'berkuasa' menukar diri kami, sama ada sebagai pekerja mahupun sebagai manusia biasa. Sesungguhnya, sebagai manusia, selain tanggungjawab terhadap tugas, kita semua sebenarnya adalah sama...wujud di dunia sebagai khalifah yang memakmurkan bumiNya. Bukankah itu yang mengatasi segala kepentingan yang ada?

Suasana bersama teman2 sewaktu makan di Restoran 5 bintang di hotel tersohor di kota raya itu tidak banyak bezanya dengan waktu bersama2 di hari2 lain. Suasananya layak disamakan dengan waktu kami bersarapan di Wangsa Melawati. Tidak berbeza..hinggakan daya fikirku tertanya2; untuk apa majlis ini diadakan.  Sambutan; tawar dan hambar.Uh, bukan kuminta 'mereka' disambut, tapi sekurang2nya ada insan lain yang menyuakan  tempat untuk 'mereka' yang datang bersama2 kami. Tidak perlu rasmi, tapi cukup sekadar menunjukkan rasa hormat. Kami pula yang serba salah.... Usah diikutkan marah yang terpendam di lubuk hati, kerana bukan itu ketikanya untuk meluahkan. Tambahan pula, marah dipendam, salah sendiri.. kerana siapa yang tahu? Rasulullah SAW sewaktu menyambut  tetamunya, Saad bin Muaz RA, bersabda kepada golongan Ansar dalam peristiwa Khaibar, baginda bersabda; Kumulisaiyyidikum...mafhumnya "Berdirilah kamu sekalian, bagi memuliakan pemimpin kamu". Ya..tidak perlu berlebih2an, cukup sekadar berdiri asalkan pemimpin itu dalam kalangan orang beriman.

Peluang yang ada sebelum pulang, kami gunakan sepenuhnya untuk meluahkan rasa hati kepada Kak Win. Terima kasih..kerana berkesudian mendengar. Setidak2nya terlepas rasa beban yang dipikul. Kata teman yang memandu, senang jika sentiasa dapat berbincang begini, semuanya dapat diluahkan. Iya, bukan untuk kami, sebaliknya untuk kepentingan semua. Namun, masih banyak lagi yang hendak diperkatakan, tapi perlu ditapis terlebih dahulu.Untuk K.Nik, terima kasih atas ingatan untuk bermuhasabah, tapi muhasabah bukan sekadar selepas ditimpa musibah, sebaliknya perlu dijadikan rutin harian. Selebihnya, kuyakini bahawa setiap sesuatu itu berlaku kerana takdir Allah.

Sambungan entri semalam....
8.   Secara umum, untuk melahirkan organisasi yang mantap, budaya dan suasana kerja perlu sentiasa dipertingkatkan. Perlu ada ilmu untuk mengurus, dan dalam entri yg lalu, kusebutkan bahawa ilmu dapat diperoleh dalam pelbagai cara.
9.  Berlaku adil dan bertindak adil. Dalam entri yang lalu...pernah kusebut, kalau rosak sebatang, dicabut...rosak serumpun, dibongkar, usah dibakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk.
10.   Ikhlas..kerana hati yang ikhlas akan menghasilkan kerja yang sempurna, insyallah. Janganlah melakukan sesuatu kerana sesuatu yang mendorong suatu kepentingan yang bersangkut dengan diri kita sendiri.

Walaupun hanya sepuluh perkara yang perlu kusuarakan, PASTI yang akan mengetuk gegendang pendengaran mereka tidaklah semuanya. Uh...kuhormati pengalaman dan pengetahuan mereka selama berkecimpung dalam dunia pendidikan ini. Ya, cuma sebagai manusia..kita perlu saling mengingatkan. Saling melengkapi. Bukanlah bererti..ilmuku sudah penuh di dada, sebaliknya sekadar berkongsi rasa. Seperti kata Suza, andai kita di tempat mereka, pasti begini juga. Benar, sebab itu kita memerlukan orang yang jujur dan janganlah jujur orang sekeliling disalahertikan. Sesungguhnya..kita hamba Allah yang lemah....






Friday, November 20, 2009

Suara I

3.30 a.m.....terjaga lagi. Sejak kebelakangan ini acap benar kuterjaga sewaktu dinihari bakal menjelma,.. segala2nya berputar kembali. Teringat peristiwa semalam...dalam gelap, terkelip2 mata diusahakan untuk tidur semula. Gagal...tepat jam 5, aku bangun melengkapkan kerja2 yang perlu dikemaskini hari ini, khasnya untuk dihantar kepada admin.

Huh, berhimpun di tapak perhimpunan....rupa2nya pengumuman dibuat untuk meraikan hari lahir guru2 yang menyambutnya pada Nov & Dis. Tatkala namaku dipanggil..perasaan sedang melayang jauh melayan sisa2 kehampaan menerima keputusan UPSR semalam. Sehabis baik cuba bersikap positif...tapi ada kalanya kecundang sewaktu melihat wajah anak2 didikanku...sebak datang lagi sewaktu menerima cenderamata dari Pn CT....selepasnya,kutampil sekali  lagi menerima hamper hasil 'keunggulan' menjadi kelas terbersih.....

Hari ini sudah ada yang mula bertanya dan menegur. Kata mereka, semalam hanya mampu memerhatikan kesedihan kami....tapi takut menyapa. Khuatir disalah ertikan. Entahlah......keluhan dilepaskan kepada rakan2. Hmmm...aku dan Suza mengambil keputusan melepas tension dengan bersarapan di luar. Selepas memastikan semuanya 'baik', aku & Suza ke destinasi kami.........dengan dua orang lagi teman setia, Izwa dan Zizah. Sambil menikmati nasi lemak dan Nescafe, kami meneruskan perbincangan tentang keputusan UPSR semalam. Ibarat 'post mortem', cuma secara tak rasmi....

Masih seperti semalam...kucuba untuk tidak menyalahkan mana2 pihak. Bagiku, tiada gunanya berbuat demikian, hanya menambah parah situasi yang ada. Nantilah, dalam post mortem rasmi akan kusuarakan apa yang sewajarnya disuarakan. Kepada 'adik2' yang bertiga ini, kuajukan cadangan agar beberapa pembaharuan dilakukan agar lebih sistematik.Cuma..yang peritnya ialah mengenangkan kekhuatiran bahawa keputusan UPSR ini bakal memberi kesan kepada enrolmen pelajar di tempatku bertugas. Aduhai..

Apa yang patut disuarakan? Selepas ditimbang tara, inilah yang dapat kufikirkan....
1. Seperti dalam entri yang lalu, pernah kutulis bahawa pentadbir perlu sentiasa bersikap open minded/ hearted. Bersedia untuk berubah mengikut keperluan semasa, berani menganjak paradigma..lebih praktikal.
2. Tidak bersikap seperti 'ibu ketam' yang hanya menyuruh anak2 berjalan lurus, sebaliknya menerapkan sifat "Kepimpinan Melalui Teladan". Kukira perumpamaan 'ketam' ini sudah jarang kedengaran.
3. Lebih profesional dan mengurangkan karenah birokrasi. Justeru hubungan dengan 'subordinat' perlu dipelihara...ibarat kata pepatah, yang tua dihormati; yang muda dikasihi tidak hanya dipakai sebagai pepatah, sebaliknya dipraktikkan. Justeru, untuk menegur subordinat, cara yang profesional digunakan...kerana walaupun tugas memerlukan kita berhadapan dengan kanak-kanak, tetapi kita tidak perlu bersikap 'keanak-anakan'....
4. Menerima teguran & pendapat. Pendapat dan usul dalam mesyuarat perlu diberi perhatian, bukan sekadar didengar. Mesyuarat MESTI dalam komunikasi DUA HALA.
5. Proses membuat keputusan dilakukan secara bersama kerana natijah keputusan akan di'rasai' oleh semua ahli organisasi. Ya, Rasulullah mengamalkan sistem Syura semasa baginda mentadbir negara Madinah sehingga kerajaan Madinah diiktiraf di seluruh dunia sebagai mengamalkan sistem pemerintahan terbaik.
6. Merancang aktiviti dengan mengambil kira maslahat umum.Contohnya; sewaktu program bengkel UPSR dijalankan sepanjang minggu bekerja, usahlah program gotong royong 'ad-hoc' pula dijalankan pada hujung minggu.
7. Supervise.....bukan snoopervise!!

Setakat ini yang dapat kufikirkan...insyallah, akan disambung pada lain entri......

Thursday, November 19, 2009

Rahsia MIMPI

Hariku bermula seawal 4 pagi. Astaghafirullah...mimpi yang datang dalam lena dibuai angin perbukitan membangkitkanku. Mengingat semula mimpiku...hanya sembilan belas orang yang berjaya memperoleh 5A. Tak mungkin, getus hatiku. 19...bukan 25, bukan 40.. tetapi sembilan belas. Wajah anak2 didikanku yang tampil mengambil keputusan dalam mimpiku seolah2 boleh diputar semula.

Pagi di sekolah, kukongsikan kisah mimpi itu kepada rakan2 seperjuangan..Riak wajah CC seolah2 mengiakan kata2ku...tapi hati kami tetap berusaha menidakkan. Sedaya upaya menidakkan. Kukhabarkan pada mereka, firasatku..mungkin 38. Ya, beramai2 kami menidakkan angka 19 itu. Tatkala berkesempatan berucap di dewan, kusampaikan harapan agar anak2 didikanku bersedia-mental & fizikal dengan apa jua keputusan yang bakal tiba. Usah lupa pohon maaf daripada ibu bapa jika lain yang diharap, lain yang diperoleh. Lebih kurang jam 10- inilah masanya...kami berarak ke bilik GB. Maha Besar Allah, mimpi yang dititipkanNya pada awal pagi dalam tidurku benar2 menjadi realiti.

Subhanallah... 38lah juga yang naik ke pentas...dengan 19-5A, 19-4A. Tiada apa yang dapat kami perkatakan...selain Alhamdulillah, subjekku: BM 1 hanya 3 yang mendapat B, selebihnya A dan BM2, straight 'A's untuk kedua2 kelas G & K. Subjek lain menunjukkan peningkatan. Walau hati terkilan...tetapi aku belajar meredhakan keputusan yang ada di depan mata. Sedih melihat ibu bapa yang terkejut dengan keputusan itu, sedih jua hati melihat harapan anak2 didikanku yang berderai...ialah, harapan mereka mungkin menggunung tinggi. Sesungguhnya, itulah juga harapan kami...

Yang berlalu, sudah berlalu. Apa yang tinggal ialah pengajaran dan hikmah yang perlu dicari. Kelebihan, kekuatan dan kekurangan pastinya ada. Mungkin ada yang tersilap membuat percaturan, baik di pihak guru, mahupun di pihak lain, maka keputusan yang diperoleh begitu bentuknya. Ya...inilah masa untuk bermuhasabah, mencari solusi menangani masalah ini supaya tidak berulang pada masa hadapan. Untuk yang di atas, acaplah turun bertanya apa yang kami perlukan. Jangan dibiar kami sendirian menangani sesuatu yang patut kita tangani bersama. Ya...sesungguhnya tadbir yang baik menghasilkan takdir yang baik. Perlu diingat, kita ibarat berlayar di dalam sebuah kapal. Jika bawahnya bocor, yang di atas akan turut tenggelam bersama. Lantas, jangan diperbesarkan jurang yang ada. Dan sungguh, rama2 hanya bermula dari telur dan beluncas..maka semua ini pasti ada kebaikan yang tersembunyi. Buat teman2 yang pastinya sama2 'terduduk' dengan keputusan hari ini, kekallah dengan sikap positif kalian. Ya..kita telah berusaha sedaya upaya, tetapi inilah ujian untuk kita pada 2009 ini. Tepislah apa2 yang patut ditepis, dan kembali bangkit membuat bidikan yang lebih baik...dan :) Suza, Izwa, TQ kerana meluangkan masa lunch di C4 untuk meredakan hati lara.

Kudedikasikan juga  rasa kasih yang berpanjangan untuk semuanya dalam entri kali ini, lebih2 lagi anak2 di  6G/SKW. Untuk Naoura, Umar, Aisah, dan Amir...sekalung tahniah atas keputusan cemerlang.  Dheena, Izz, Nazrul, Sabrina, Muiz dan yang lain2nya, sekalung tahniah juga...terima kasih kerana memahami perasaan sang pendidik ini. Raf..TQ for the song..Harapanku pada mereka, jadilah anak yang baik, taat akan ibu bapa, insyallah kejayaan kalian lebih bermakna. Belajarlah menangani rencah dan resam hidup.

Kata Fqueen,"mimpi mama adalah petunjuk Allah. Sekurang-kurangnya mama dan rakan2 bersedia menghadapi kenyataan. Tidak terjelepuk tanpa isyarat apabila keputusan keluar". Iya, ada benarnya. Insyallah..Allah Maha Adil. Tahun depan, team kami akan berusaha lebih gigih lagi....

Wednesday, November 18, 2009

Keputusan

Esok keputusan UPSR. Kenyataannya amat ringkas. Harapan menggunung tinggi, baik di pihak ibu bapa mahupun di sebelah pihak lagi- guru-guru. Keputusan yang bakal keluar, secara tidak langsung menggambarkan prestasi dan reputasi. Mungkin ianya sekadar satu generalisasi yang juga amat ringkas. Padaku kenyataan itu 50-50....boleh jadi ia, boleh jadi tidak. Tetapi..secara ilmiah, selepas taakulan yang dalam dan amat dalam dilaksanakan; mungkin ada hikmahnya jika keputusan tidak seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Ya...rama2 tidak terus menjadi seekor rama2 yang cantik, sebaliknya bermula dengan beluncas yang sedemikian rupanya. Tiada yang memuji atau memuja beluncas. Begitu juga halnya dengan keputusan UPSR kali ini...usahlah kita menghakimkan sesuatu yang kita mungkin tidak tahu hikmahnya.

Kepada para ibu bapa yang membaca entri ini...usahlah dibebankan fikiran anak2 dengan cara yang melulu, sebaliknya berilah kata2 perangsang untuk memotivasikan mereka. Sungguh....nasihat dan motivasi daripada ibu bapa sebenarnya lebih baik daripada mana2 pakar motivasi yang ada dalam dunia ini. Bukankah kita sepatutnya lebih mengenali anak2 kita sendiri? Kita jualah yang lebih faham masalah mereka..justeru kita cuma boleh mengharapkan orang lain 'membantu' kita mengubah peribadi atau sikap anak2 kita..tetapi kitalah nakhoda utama yang sepatutnya membantu mereka mengemudi pelayaran kehidupan mereka sampai saat dan ketika mereka sudah mampu berlayar sendiri. Janganlah ditambah kesedihan mereka yang sudah sedia dalam kesedihan. Kita pastinya pernah merasai erti gagal dan kecewa...bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Apakah yang dituturkan ibu bapa kita? Mari kita ingat semula, manis...atau pahitkah yang kita rasa tatkala 'menelan' kata2 ibu bapa kita? Ya...lain orang, lain bentuk motivasi yang diperlukan, justeru kita bersedialah memberi kata2 perangsang kepada anak2 kita apabila mereka memerlukan kita berbuat demikian.

Adalah menjadi masalah yang 'besar' jika kita tidak boleh menerima kenyataan bahawa sebagai manusia, kita pasti akan diterjah kekecewaan akibat kegagalan. Gagal tidak semestinya mendapat 'D' dalam peperiksaan, atau kecundang dalam sebarang ikatan, atau tidak dapat apa yang diidami...tetapi ianya sesuatu yang bersifat subjektif lagi relatif. Ibaratnya ada manusia melihat dosa yang kecil seperti sebuah gunung...ada pula yang melihatnya seperti seekor hama. Begitu juga halnya dengan kegagalan. Ya..ada yang mengatakan hitam itu menawan, ada juga yang mengatakan sebaliknya...Padaku, gagal menjadi prasyarat sebuah kejayaan. Bagaimana? Fikirkanlah...

Aku pernah diasak anak2 didikanku dengan soalan2 seperti.."kalau anak cikgu tak dapat 5A, cikgu tak marah?" Jawapanku mudah, "tidak" dan telahpun kubuktikan. Pasti tidak. Ya.. hidup bukan sekadar peperiksaan dan kejayaan holistik lebih penting. Berkeperibadian tinggi dan mampu menongkah arus hidup dengan baik, dan yang paling u.t.a.m.a ialah mampu menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Mampu berbuat baik dan memberi kebaikan kepada makhluk lain, insyallah. Moga Allah tetapkan pendirian kami dan anak2 kami serta mempertingkat iman kami, hari demi hari. Mendengar kata2 anak2 didikanku adakalanya melukakan perasaan; "bagusnya kalau cikgu jadi emak saya...". Huh... kalau aku sendiri sebagai ibu mendengar kata2 sedemikian terbit dari mulut anakku, pasti aku akan berasa sangat sedih. Sangat sedih sekali.

Esoklah harinya. Lantaran itu..marilah kita panjatkan doa untuk semua anak2 kita yang bakal menerima keputusan esok, mohon Allah cekalkan hati mereka. Sesungguhnya, mereka masih muda, masih belajar. Dan antara pelajaran yang penting adalah bagaimana untuk menghadapi, menerima dan bertindakbalas terhadap kejayaan dan kegagalan (i.e: kekecewaan) dalam kehidupan mereka. Buat anak2 didikanku semuanya; doa ku mengiringi kalian, moga berjaya dalam kehidupan kini dan selepasnya. Sekali lagi ibu bapa, kasihanilah mereka...

Tuesday, November 17, 2009

Terbang

Rasa ingin terbang. Pagi diserikan dengan halwa telinga - repekan Din Beramboi & Aznil membuat kutersenyum tatkala memandu menghala ke tempat kerja. Seperti biasa, kenderaan berpusu-pusu keluar dari daerah perbukitan ini. Dengan bilangan kenderaan yang banyak dan jalan berkeadaan 'bottle neck'..pastinya kesesakan tidak dapat dielakkan. Tapi hari ini semangat dan keceriaan yang dirasakan agak berbeza...seperti ingin terbang. Mungkin kerana 'workload' yang selama ini rasa terbeban di bahu, pergi satu persatu. Dan hari ini, semua urusan murid telah dapat diselesaikan sekurang-kurangnya 80 peratus. Alhamdulillah.

Dengan ceria memulakan hari baru, kuterus membersihkan meja 'ruang pemustautinan' di bilik guru..iyalah, sejak dilanda kesibukan berkarnival kokurikulum, karnival tahun 6, mengusaikan PROTIM, mengumpulkan keputusan berterusan, MAC dsb, tiada kesempatan dapat dicari untuk mengemaskan ruang peribadi ini. Seminggu lalu Izwa yang mengemas 'ala-ala kadar' di ruang mejanya mengadu kepadaku dan beberapa orang rakan, mengatakan ruang itu  dikongsi bersama seekor kucing yang sedang beranak kecil. Aduhai....Maka hari inilah harinya untuk kupastikan ruangku ini tidak pula dikongsi dengan  makhluk yang seekor itu. Memanglah comel...tapi.....

Bersih. Sekali lagi hati menjadi tenang melihat ruang meja yang tersusun kemas serta kelihatan bersih. Semua helaian kertas, fail-fail dan dokumen yang disimpan sejak 2004 kuasingkan untuk dimasukkan ke kotak kitar semula milik Afiza. Wah...memang cik adik seorang ini menghargai alam sekitar. Tindakannya itu amat ku hargai kerana dalam kesibukan merundingcara, cik kaunselor ini masih sempat menyumbang 'sesuatu' buat alam sekitar. Sedang khusyuk berkemas, Izwa pula meringankan tulangnya sama-sama mengemas ruangnya.Alhamdulillah, tempat kami berdua yang saling membelakangi satu sama lain benar2 bersih. dan selesa. Kami kemudiannya meluahkan rasa hati tentang situasi dan kondisi di bilik guru yang kurang kondusif, dan keadaan menjadi lebih 'sukar' kerana ada segelintir manusia yang kurang prihatin tentang kebersihan.

Sesungguhnya iman itu banyak cabangnya. Bersih sebahagian iman. Malu juga sebahagian iman. Mengutamakan saudara/ jiran tetangga sekeliling jua dituntut untuk menjadi orang yang sempurna imannya. Lantaran ke manakah kefahaman manusia tentang 'sesuatu' yang amat mudah difahami ini? Tanpa meletakkan kebersihan sebagai keutamaan di tempat awam, kita juga secara tidak langsung telah mengenepikan rasa malu kita atas sikap negatif tersebut, dan secara terang2an juga kita sebenarnya  telah menafikan hak orang2 di sekeliling kita untuk hidup @ bekerja dengan lebih selesa. Ya, kebersihan bukan sahaja penting untuk yang 'di dalam' tetapi juga dapat dinilai dari luaran. Kata2 "don't judge the book by its cover' kurang sesuai untuk diaplikasikan dalam konteks ini. Logiknya, mahukah kita singgah membeli makanan di gerai yang kotor walaupun makanan di dalam bungkusan yang dijual adalah bersih?? Tidak mengapa berumah kecil atau tidak cantik asalkan kemas dan bersih. Sekurang-kurangnya sedap mata memandang dan selesa untuk didiami. Itu yang penting. Justeru, kadang kala rungutan mengatakan bilik tersebut begitu dan begini, maka perlu dijawab... yang perlu diubah bukan sekadar bilik kerana itu sahaja tidak memadai, sebaliknya sikap kita. Sudahlah beban kerja dan tuntutan tugas sedemikian, tidak mengenal waktu, ditambah dengan keadaan yang tidak kondusif ciptaan segelintir manusia yang bergelar 'guru' sendiri.

Hmm...Maaf, jika ada yang terbaca lalu tersinggung dengan kenyataan ini, sesungguhnya entri kali ini sekadar ingin membuka minda dan mata kita semua. Hakikatnya, memang benar ada antara kita yang hanya mementingkan kecantikan semata-mata, namun membelakangkan kebersihan. Justeru, kembalilah kita kepada pokok persoalan yang utama, yakni sebagai muslim lagi mukmin, bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman...bersih hati, bersih diri, bersih jiwa raga, bersih minda lalu menerbitkan kebersihan suasana yang insyallah, menceria dan menyenangkan untuk dikongsi bersama!

Sunday, November 15, 2009

Atfal G Day: Suatu Rumusan

Praise be to Allah....JuniorF selamat menjayakan pementasan sempena Majlis Graduasi tadikanya -ATFAL. Huh, keterujaan kami sekeluarga memuncak. Fqueen berdebar2 menunggu si adik berlakon...."betulke adik boleh berlakon?" tanya Fqueen jelas tidak sabar. Kuhanya berdiam menantikan saat anak kecilku keluar....melihat persembahan anak-anak ATFAL yang lain, memang mengujakan. Sekalung tahniah buat semua wargakerja ATFAL yang bertungkus lumus menjayakan majlis hari ini....penat lelah mereka- berbaloi-baloi. Sebagai pendidik, pasti kuketahui dan amat sedar bahawa untuk menjayakan majlis begini sememangnya memenatkan. Hanya komitmen menjadi pendidik sahaja yang mampu melonjakkan kesungguhan...kalau pelajar2 sekolah menengah, tiada masalah kerana mereka sudah boleh menghafal, mengatur,berlatih bahkan mengarah sendiri pementasan  ....tapi, ini kanak-kanak 3,4,5 & 6 tahun. Fuhhh....

Sepanjang majlis, aku terfikir...inilah anak-anak kita yang bakal mengikut corak pendidikan yang kita sediakan, yang kita berikan. Kalau baik, baiklah sahsiah dan peribadi mereka, jika sebaliknya, maka pastinya sahsiah dan peribadi mereka tidak akan 'menjadi' seperti yang kita harap2kan. Sungguh..amat benarlah bahawa anak2 itu seperti sehelai kain putih.....cuma agak terkilan dengan sikap sebahagian ibu bapa yang tidak 'mampu' mengawal/ membataskan  pergerakan anak2 mereka supaya lebih menghormati majlis. Anak2 perlu dididik, jangan mengganggu perjalanan majlis dan mengganggu ketenteraman orang lain yang mungkin sedang memberi perhatian terhadap majlis yang berlangsung. Malangnya, ada ibu bapa yang membiarkan anak2 mereka berlari2an, memecahkan belon, bermain2 dan berbuat bising dsb tatkala persembahan sedang berlangsung. Tak mungkinlah guru2 hendak menegur para ibu bapa; pertama..mereka sedang sibuk menjalankan tugas; yang kedua, mereka tentunya tidak mahu mengaibkan ibu bapa yang berkenaan....tetapi seharusnya ibu bapa sendiri yang WAJIB tahu ADAB menghadiri majlis. Tidak salah merakamkan gambar anak2 tatkala majlis berlangsung, tapi usahlah dikeluarkan anak dari barisan semata2 kerana tujuan tersebut.Walaupun ini bukanlah majlis ilmiah, tetapi setiap majlis yang dihadiri sepatutnya ada adab2 dan tuntutan2 yang harus dipenuhi....

Bercakap soal adab, selalu kuingatkan anak2 didikanku, dalam bahasa Arab; apabila melakukan sesuatu, hendaklah "BI 'ADABIN"... bermaksud melakukan sesuatu dengan adab, bukan biadab. Tidak hairanlah kalau sikap sedemikian diwarisi anak2 kita kelak jika kita sebagai ibu bapa memandang 'leceh' akan hal ini. Ya, bukan setakat tidak menghormati majlis, tidak menghormati khatib yang sedang berkhutbah, tidak menghormati peraturan, tidak menghormati guru2 bahkan kelak, tidak menghormati ibu bapa sendiri!! Ya, bukankah di sekeliling kita hal2 sedemikian telah pun berlaku?  Bagaimana hendak diubah, jika rebung telah menjadi buluh, nasi pula sudah menjadi bubur. Atau dengan kata lain..sudah terhantuk baru tengadah?  Maka sebenarnya hal demikian berlaku kerana ibu bapa, yakni kita sendiri yang memberikan ruang untuk hal  tersebut berlaku. Contohnya, sewaktu kecil, anak dikatakan 'petah' jika menyampuk perbualan ibu bapa..'petah' jika pandai mengajuk kata2 ibu bapa dalam bentuk yang tidak sepatutnya....tetapi jika terus-terusan dibiarkan, apabila sudah dewasa kelak, yang petah akan berubah menjadi 'kurang adab'. Justeru, marilah kita sama2 melontarkan daya fikir kita yang rasional, tidak perlu lama, tapi cukuplah sejenak ...supaya kita boleh menganjak paradigma kita yang selama ini mungkin tenggelam dalam perasaan "kitalah bangsa beradab ketimuran", insyallah dengan tindakan ini kita akan dapat mengubah sikap kita.  Usahlah kita marah secara wawenang jika mendengar bahawa "civic minded' kita di takuk paling bawah, sebaliknya marilah kita bersama2, tanpa terkecuali siapa jua pun untuk terus bermuhasabah. Bukankah ISLAM itu amat mementingkan ADAB & AKHLAQ? Bahkan Rasulullah bersabda (maksudnya): "Aku dibangkitkan (diutuskan) untuk menyampaikan (manjadi contoh) akhlaq yang mulia".

Berbalik kepada persembahan2 yang disampaikan oleh anak2 ATFAL, semuanya sarat dengan mesej, khasnya tatkala 'the blind man' dibantu 'satan' untuk pergi ke masjid. Hmm..kuterangkan kepada Fqueen bahawa 'satan' tersebut membantu 'the blind man' supaya Allah tidak terus mengampunkan dosa2 semua umat Islam apabila 'the blind man' dengan sabarnya mengorak langkah ke masjid. Pastinya, dalam realiti..syaitan akan menangis jika Allah mengampunkan dosa2 hambanya, kerana syaitan itu tiada lain tujuannya,melainkan mengheret seramai mungkin pengikut ke neraka jahannam!!! Kata Fqueen, lakonan 'the blind man' amat berkesan hingga boleh merangsang air mata keinsafan meniti tubir mata menunggu masa untuk mengalir!

Two thumbs up untuk the students, termasuklah JuniorF yang berjaya 'memotong' kepala biri2, T.Lina, T.Nasrul, T.Intan, T.Asma, T.Izan, T.Zura, T.June, T.Lili, T. Lea, T.Amy (kalau ada yang tertinggal, ribuan maaf......).Tidak sabar rasanya untuk menatap hasil karya kreatif tenaga pengajar ATFAL untuk 2010, insyAllah jika ada keizinan Ilahi. Mungkin JuniorF sudah lebih matang ketika itu kelak...


Friday, November 13, 2009

Terima Kasih

Pagi yang indah. Tenang dengan kicau beburung, jauh dari hiruk pikuk kota. Alhamdulillah, Allah memperpanjang umur kita, setidak-tidaknya sehari lagi untuk hari ini. Mungkin hanya setengah hari..Suasana di daerah perbukitan di Hulu Kelang ini amat sejuk, nyaman dan tenang. Keletihan meladeni majlis semalam masih bersisa..namun alhamdulillah, berbekalkan pengalaman lalu, semuanya berjalan lancar. Terima kasih kepada rakan2 yang ringan tulang, Kak Ieta, Gee & Fazura yang membantu J/kuasa kami yang kekurangan tenaga kerja. Yelah, di saat2 akhir, Bai dan Nik Nisal terpaksa keluar melaksanakan tugas di luar. Zila pula, menerima berita sedih tatkala menyudahkan kerja-kerjanya di "bilik gelap@ bilik hadiah" kami. Alfatihah buat ibu mertuanya...moga Zila sekeluarga bersabar menghadapi ujian Allah. Agak terpempan kami ketika Zila tiba2 menghamburkan air matanya sewaktu menjawab panggilan telefon..aku yang sedang mengulang susun ratusan hadiah hanya mampu memintanya bersabar. Huh, 3 berita kematian kuterima minggu ini....teringat kepada apa yang pernah kubaca, sesungguhnya malaikat maut itu menjengah kita sekurang-kurangnya 70 kali sehari!

Tentang kejayaan MAC 2009, nothing much yang istimewa, kecuali keprihatinan Pn Mardziyah yang peka dengan 'kehangatan' kami di 'bilik gelap' tersebut agak menyentuh 'hati'. Ya, sebelum majlis dan seusai majlis, beliau tidak lupa menjenguk kami yang bekerja di belakang tabir. Walau pun ada satu dua perkara yang ditegur, namun umumnya beliau amat berpuas hati. Selain itu, yang istimewa padaku , kunci utama perjalanan yang lancar majlis itu kali ini ialah 'kerjasama'. Bukanlah sebelum ini kami tidak bekerjasama..tapi emosi masing2 berada pada tahap paling baik. Masing2 cuba melakukan tugas sebaik mungkin.Teringat ayat-ayat 'cliche' admin di tempatku bertugas, 'kalau seseorang itu diberi tugasan, itu tandanya 'dia' diberi kepercayaan/ diamanahkan tanggungjawab berdasarkan kemampuannya'. Pergilah ke mana2 pun organisasi pun, hatta ketika dilantik mengetuai bacaan doa..itulah ayat 'standard' yang gemar sekali diucapkan...

Teringat pada rakan2 tiga serangkaiku- Izwa, Azizah & Noraini yang bakal ber'konvokesyen' hari ini.Tahniah buat kalian, alhamdulillah penat lelah kalian ke bilik kuliah dengan meninggalkan anak2 selama ini berbayar juga akhirnya. Semoga kalian masih terus bersemangat melayari lautan ilmu selepas ini, insyaallah. Pesanan  khas buat kalian, tetap2 beringat bahawa walau setinggi mana pun kita, ada yang lebih tinggi dan tidak salah kalau kita merendah hati pada yang lain. Jadilah manusia berilmu dan berprinsip. Orang berilmu tidak hanya mengikut arus/ pendapat ramai kerana banyak tidak semestinya benar. Perlu berani mengatakan yang sebenar....apalah gunanya ilmu kalau kita tenggelam dalam kelalaian kerananya. Izwa, :) tentang 'usahasama' kita pada masa akan datang.....insyallah, niat dan hasrat untuk menjayakannya tak pernah terpadam. Moga 2010 merealisasikannya......Buat Yatie, tahniah atas kejayaan anak yang dinobatkan sebagai Tokoh NILAM 2009. Begitu juga buat anak2 didik..Nazrul (kuterharu mendengar khabar bapanya menitiskan air mata kegembiraan), Aishah Amsidar dan Umar Akmal, tahniah atas kejayaan dinobatkan sebagai tokoh 2009. Begitu juga halnya buat bekas anak2 didik yang turut hadir,esp. Maryam & ibunya, maaf kerana tidak dapat meluangkan waktu untuk berbicara kerana kesuntukan masa..


Kesempatan berhujung minggu bersama MrF dan anak2 telah ada perancangannya. Jam 1.30, aku, MrF, Fqueen akan menghantar JuniorF ke Rehal Auditorium untuk berlatih bersama2 teman se'ATFAL'nya bagi majlis esok.Ya, JuniorF akan berlakon sebagai penggembala kambing..katanya. Melihat kesungguhan anak kecil ini, kuteringat betapa guru-gurunya juga pasti mendedikasikan komitmen mereka untuk menjayakan majlis graduasi pelajar2 ATFAL. Terima kasih cikgu, kerana dengan didikan kalian JuniorF kini sudah boleh membaca, mengenal solat & doa...dan berlakon:).  Kami sekeluarga juga teruja untuk melihat lakonannya..

Kesimpulannya, sepanjang minggu ini ada berita gembira dan ada juga yang sedih. Kehilangan bapa saudara, teman kehilangan ibu mertua...kejayaan MAC, teman2 berkonvo.. semuanya menjadi rencah kehidupan. Teringatku kepada ayat ini..."Whosoever in the heavens and on earth begs of Him. Everyday He has a matter to bring forth (such as giving honor to some, digrace to some, life to some and death to some, etc) Al Quran 55:29.




Tuesday, November 10, 2009

Pergi

Innalillahi wainna ialaihi raji'un...dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali...berita yang kuterima daripada ayahanda di talian telefon mengocak ketenangan hatiku. Bapa saudaraku sebelah bapa, Pak Teh Abas, telah kembali ke Rahmatullah pada lebih kurang jam 12 tengah hari tadi. Hujan renyai mengiringi berita itu...entah satu kebetulan, atau apa pun...aku tetap merasakan kesedihan yang sememangnya patut dirasakan sebagai seorang anak saudara yang pernah rapat dengannya pada satu ketika dahulu. Memori  ketika  membesar di kampung, menggamit ingatanku (apatah lagi Idah, anak perempuan bongsu Pak Teh,  sebaya denganku menjadi teman sepermainan & pengapit pada hari perkahwinanku). Kupanjatkan doa..moga rohnya aman di persemadian, dilimpahkan rahmat belas kasihan PenciptaNya, di tempatkan di kalangan orang yang soleh. Ya Allah, kasihanilah hambaMu ini...ampunkanlah barang sebesar manapun kesilapannya sewaktu hayatnya dikandung badan. Lalu, kusedekahkan Fatihah..menjadi bekal di perjalanan abadi.

Iya. Aku tidak pulang ke kampung halaman di Kuala Pilah. MrF yang awal2 kuhubungi memberikan rasional; kami telah berjumpa Pak Teh pada Eidul Fitri yang lalu.Urusan kerja menidakkan keperluan untuk pulang menziarah dengan kadar segera. Pulang itu sebenarnya keutamaan buatku tapi Fqueen sedang menduduki peperiksaan akhir hari ini. JuniorF batuk dan selesema. Dia juga punya konserto di Auditorium Rehal (Islamic Art Museum) untuk dihadiri hujung minggu ini. Aku sendiri...mengepalai jawatankuasa majlis tahunan di sekolah.MrF dengan projek DEMC di Shah Alam.Tak mungkin cuti akan diberikan..! Huh, menimbang segala-galanya, di talian telefon kami putuskan...akan pulang pada Jumaat petang, menziarahi Mak Teh pada keesokannya dan kembali ke KL sebelum rehearsal JuniorF bermula.

Subhanallah... sesungguhnya 'kerja' Allah  penuh rahsia. Mengungkap pertemuan akhir kami pada eid lalu, hati menjadi sebak. Pak Teh amat uzur di atas kerusi roda..tapi punya kekuatan untuk bersama2 keluarganya meraikan kehadiran kami sekeluarga yang bertandang di rumahnya. Uzur dan dalam payah...cuba berbicara.  Tatkala aku mohon izin untuk pulang, sempatku berpesan agar Pak Teh bersabar atas 'rezeki' uzur-nya, sebak dia memohon maaf atas kesilapan yang lalu. Fqueen memberitahu lewat petang tadi, sejurus mendengar khabar pemergian 'atok' itu, dia masih teringat Tok Teh merenung wajahnya dalam2 sebelum perpisahan...Begitulah, kenangan yang akan tersimpan selama-lamanya dalam ingatan selagi ada izin Allah. Sesungguhnya, tiada apa yang mutlak menjadi milik kita..dan mati tidak mensyaratkan umur tua, kerana ajal itu tidak menjemput kita berdasarkan umur. Entah esok, entah lusa, siapa tahu, mungkin giliran kita pula yang terpilih mengadap Allah Azzawajalla....mohon belas kasihan dan rahmatNya, biarlah kematian kita tiba dalam keadaan yang 'mulus',  husnul khatimah yang disebut2 dalam doa..

Jumaat ini- MAC. Tugasku sehari dua ini lebih berkisar kepada persediaan MAC dan tugas2 aliran. Sementelah dua minggu lagi sesi persekolahan 2009 akan berakhir..tugas sebagai pendidik seolah2 mencapai 'kemuncak'. Insyallah, keputusan UPSR akan keluar pada minggu hadapan. Hari? Wallahua'lam...namun debarannya pasti sudah terasa. Tiada yang boleh meneka keputusan yang bakal keluar melainkan hanya doa agar 'pisang berbuah dua kali'...seperti kejayaan dalam UPSR 2008. Begitu juga halnya dengan calon2 STPM/SPM yang bakal menduduki peperiksaan pada Isnin & Rabu depan. Doa buat calon2 dua peperiksaan besar ini, moga kalian beroleh ketenangan menghadapi peperiksaan dan seterusnya merangkul kejayaan cemerlang agar kalian juga dapat berpergian kelak. Insyallah...pergi melanjutkan pelajaran sebagaimana yang dicita2kan oleh kedua2 'orang tua'...


Wednesday, November 4, 2009

SMM & Idea

"Hujung akal (fikir) adalah pangkal agama (zikir)". Kata-kata HAMKA yang kupetik dari Solusi (isu#13-Mukmin Professional) yang baru kubeli pada sebelah petang kelmarin menggamit tumpuan minda untuk mengasah fikir. Sedang meladeni komputer riba menyelesaikan tugas mengemaskini data dalam Sistem Maklumat Murid, aku terfikir -mengapa tidak sistem ini diangkat menjadi suatu sistem maklumat yang lebih baik bagi pelajar seluruh negara. Ya, matlamat kerajaan melahirkan 'e government, paperless administration' perlu diterjemah kepada tindakan yang lebih praktikal tetapi menyeluruh (menyebut perkataan ini kuteringat kepada seorang ustazah, Anisah namanya, yang mula-mula berjaya memahamkankan ilmu  ISLAM yang syumul kepadaku sewaktu di tingkatan 1). Sudah dua malam kuberjaga untuk memenuhi tuntutan yang satu ini..mengisi data dan butiran panjang pelajar-pelajar yang sekian ramainya. Kerap didengar keluhan sang guru, beban tugas amat rencam sehingga statistik yang mengalami stress, burn out (istilah yang digunapakai dalam ilmu pengurusan pendidikan) yang membawa kepada tekanan jiwa (mental?) semakin meningkat.Tugas guru bukan seperti yang lain, kadang kala pelajar tidak pulang pun, guru yang sedang menyediakan hidangan makan malam keluarga di rumah jugalah yang dihubungi. Pendek kata, seperti kata Tan Sri Ainudin Wahid- mantan NC UTM, tugas guru ialah tugas mental yang tidak bermula tatkala waktu seseorang guru masuk ke pejabat dan tidak berakhir tatkala waktu pulang tiba. (Kata-kata ini masih dikekalkan dalam buku rekod guru!!)

Ah...berbalik kepada SMM tadi, mengapa tidak pihak yang berkenaan menjadikannya tugas ibu bapa yang mempunyai anak@anak-anak yang belajar di sekolah kerajaan. Kaedahnya: ibu atau bapa dikehendaki (atau wajib?) mengisi maklumat diri, isteri dan anak-anak dalam borang yang disediakan secara on-line sebelum mendaftarkan anak ke sekolah pada awal tahun semasa. Tidak boleh tidak. Ibu bapa hanya perlu mengisi sekali sahaja bagi setiap keluarga, tidak mengambil kira bilangan anak. Kemudian, borang yang telah diisi perlulah dicetak, diperbanyak dan diserahkan kepada pihak sekolah (@ sekolah2). Dengan cara ini, penjimatan dalam penggunaan kertas yang ditanggung oleh kerajaan dapat dilaksanakan kerana pihak sekolah tidak perlu mencetak ribuan helaian borang2 (didarab dengan bilangan sekolah kerajaan), mengedarkannya dan kemudian mengalami masalah mengumpulkannya semula daripada murid2. Itu belum mengambilkira borang yang tidak lengkap diisi!

Kekangan?! Pasti ada, tetapi pasti juga kaedahnya boleh dimurnikan. Bukankah pada tahun ini bermula era ibu bapa mengisi borang SBP secara on-line? Jika tiada komputer, tinggal di pedalaman, atau tidak melanggan internet, bukankah di setiap sekolah kerajaan, kini sudah ada makmal komputer yang canggih- manggih. Kerajaan juga khabarnya memperuntukkan ribuan juta ringgit untuk menyediakan prasarana jalur lebar yang efisien ke seluruh ceruk negara, seprti liputan telefon yang ada. Lihat sahaja, di jalan utama di tengah-tengah kehijauan hutan Tanah Tinggi Cameron, ada akan berjumpa 'sign'- 'anda sedang melalui kawasan liputan maxis', bersebelahan kediaman orang asli  Pendek kata, kalau ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Selain itu, data SMM yang telah sedia ada dalam sistem tersebut juga dapat digunakan oleh guru-guru sekiranya diperlukan pada bila-bila masa. Justeru sedikit sebanyak, kemudahan tersebut sepatutnya menjadikan urusan pentadbiran di sekolah, khasnya yang melibatkan data murid agar lebih teratur dan efisien. Hmm...secara tidak langsung, turut mengurangkan beban tugas guru yang acap dilaung2kan NUTP, tentunya!!

Uh, maaf kerana entri ini menjurus kepada pengurusan.. khasnya tentang tugas golongan pendidik dan pengurusan sekolah. Idea guru-guru kukira sentiasa ada, segar mengikut perubahan zaman, teknologi dsb, insyaAllah... tetapi pihak berkenaan yang di atas sepatutnya lebih kerap 'turun' ke padang. Tanyakan sendiri kepada golongan pendidik sekiranya mereka mempunyai buah fikiran untuk ditaakulkan bersama. Ibaratnya, suara 'kami' kurang 'sampai' ke atas kerana mungkin terlalu 'jauh'. Yang kerap kedengaran ialah suara dari 'atas' ke 'bawah'.....

Ringkas tetapi bermakna.....tentang bonus sebulan gaji. Pada firasatku, CUEPACS bukan meminta 'kosong...' tetapi kita sering diuar2kan dengan pemulihan dan peningkatan ekonomi Malaysia. Tatkala akhbar2 memaparkan berita pasukan BMW berhasrat menarik diri dari sukan F1, Malaysia dengan berani melaburkan sejumlah besar wang ke arah itu. Memang hebat. Hmm..sifir sama ada 'sebulan bonus' itu 'gaji' atau 'bonus' untuk sama2 kita fikirkan- setahun terdiri daripada 52 minggu. 52 minggu dibahagi 4 bersamaan 13 bulan. Mudah, bukan? Oleh sebab itu, wujud organisasi korporat yang membayar gaji kakitangan mereka dua minggu sekali, khasnya organisasi antarabangsa. Itu yang lebih tepat.....

Tuesday, November 3, 2009

Ibu Moden

Buntu.Tugas yang banyak agak mengelirukan. Menggunung, tapi masih terkawal. Semuanya sedang diproses serentak. Huh? Alhamdulillah anak2 & suami, ibu bapa & mertua dalam kesejahteraan (lama tak berhubung, tapi no news means good news, right?). Mohon Allah panjangkan nikmat itu...MrF pun okay. 3 November, hari yang memenatkan kerana busy sepanjang hari. Hmm, jadi empire netball tu okay, dan seronok tengok anak2 KL main lumpur di padang yang lecah. Senario yang bisa mengembalikan nostalgia zaman anak-anak sewaktu tinggal bersama allahyarhamah nenekku (al-fatihah) di Kuala Pilah. Boys pula memang berbakat dalam futsal...especially Nazrul. Seronok juga menonton telatah mereka sewaktu bermain, terutamanya Asyraff (Soya) dengan seluar piknik yang berbunga2. Vivandra, our Junior MJ tu main bola pun macam MJ, sepak bola macam MJ, berjalan pun nampak macam MJ juga. Tak hairanlah boleh menang pertandingan imitate MJ menari tu....

Tengahari, sempat lunch di Restoran Wahab, "the best cendol in town" yang terletak di Rampai  Business Park. Thank you guys, Wa, Nina & Sueza...dalam sibuk bekerja, masih sempat mencuri waktu makan2 bersama. Itulah kawan2; susah senang sama2 diatasi..tapi rasanya kebelakangan ni kami lebih kerap makan bersama-sama. Mungkin kerana adanya banyak perkara yang hendak dibincangkan, tugas, family dan bertukar2 pandangan 'bout life. Lepas makan tu, kujemput JuniorF, hantar Fqueen balik selepas tamat upacara penganugerahan sijil di sekolahnya.(Fqueen dapat 5 sijil penglibatan kokurikulum, sebagai ibu kuagak risau kerana takut pelajarannya terjejas). Kemudian kujemput pula MrF dari IMAAR Architect untuk mengambil keretanya yang diservis.

Hm..siapa kata jadi ibu moden tu mudah. Padaku, susah atau senang menjadi ibu adalah mengikut zaman dan sentiasa ada cabarannya. Kalau zaman dahulu (zaman bondaku) kesukarannya ialah menanggung enam orang anak dengan pendapatan yang sederhana, walaupun bonda & ayahandaku berkhidmat dengan jabatan kerajaan. Berapa sangatlah pendapatan kakitangan kerajaan ketika  mereka mula2 berkhidmat...Namun secara relatifnya, masih dianggap baik kerana harga rumah di Bangsar ketika itu hanya RM30K berbanding sekarang, RM1.5 juta! Ayahandaku pula terpaksa keluar setiap 2 minggu untuk melawat stesyen kereta api kerana sebagai juruaudit kanan ibu pejabat KTM (kini KTMB), beliau mengaudit pelbagai perkara berkaitan perkhidmatan tersebut. Tambahan pula untuk membayar gaji pekerja KTM di luar bandar, perkhidmatan perbankan pada ketika itu tidak secanggih sekarang. Pada waktu itu, lima orang adik beradikku (daripada enam orang) bersekolah di sekolah  berasrama.

Tatkala aku berada di Tingkatan 1 (menuntut di SMAWP ketika itu), abang sulungku sudah pun menuntut di New Zealand, kakak sulungku di UITM, Shah Alam dan yang lain di asrama masing2. Huh, dengan ketiadaan suami, kadang kala bondaku seorang yang datang menziarahi kami. Dari KL..ke Shah Alam...ke PJ..ke Seremban..ke Kuala Pilah menjengok nenekku, dan balik ke KL pada keesokannya. Cuba bayangkan, pada waktu aku sekolah menengah, hanya ada Lebuhraya Persekutuan, tanpa MRR, DUKE, LEKAS, ELMINA or what so ever.Supermom, uh? Itu belum masuk lelah melayan karenah anak2 tanpa 'bibi' atau pembantu rumah...hmm, masih kuingat sewaktu di SMAWP itu aku 'tertelan' jarum peniti yang disemat pada tudung sehingga terpaksa dimasukkan ke Pusat Perubatan UM di PJ. Uh, bondaku datang bersama jiranku (actor-Baharuddin Hj Omar & isteri) pada waktu tengah malam untuk menandatangani borang pembedahan kerana doktor khuatir jarum tersebut masuk ke paru2ku.Alhamdullillah, semuanya berakhir dengan baik.

Zaman allahyarhamah nenekku ( l919-2004)? Sempat juga kutanyakan bagaimana bayi zaman dulu menyusu tanpa adanya botol susu? Jawapan beliau, sebab itulah bayi zaman dahulu kebanyakannya ada ibu susuan, kalau2 ibu sendiri terlalu sibuk bersawah, atau kurang sihat, maka anak2 tersebut akan berhajat kepada ibu susuan untuk menyusukannya. Kata beliau lagi, kalau hendak diberi air kosong kepada bayi, maka sehelai kain bersih  direndam dalam air kosong dan kemudian disua ke mulut bayi...MasyaAllah...

Kesimpulannya, mungkin yang kelihatan pada mata kehidupan ibu2 moden tidaklah sesukar dahulu, namun ujiannya tetap ada, khususnya dalam mencorakkan diri anak2 kita dengan pengaruh budaya moden.. Kalau aku yang  memiliki sepasang cahaya mata sudah boleh merasai cabaran membesarkan Fqueen dan JuniorF, apalagi rakan2 'setitle' yang mempunyai 5,7 atau 10 orang anak? Kadang kala penat lelah ibu dipandang kecil oleh anak-anak, malah lebih parah jika anak2 menganggap  pengorbanan ibu itu sebagai sesuatu yang wajar, memang tanggungjawab yang perlu dilunaskan oleh insan bergelar ' ibu', atau suatu  fitrah alam..Tidakkah kita lihat, ada 'ibu' yang gagal memenuhi tanggungjawab itu? Mengabaikan kasih sayang? Membiarkan amanah Allah? Justeru, marilah...kita hargai pengorbanan wanita bergelar ibu, sama ada ibu tiri, ibu angkat, ibu mertua hatta apatah lagi ibu yang melahirkan..

Apa2 pun, buat Gee yang juga seorang ibu, Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran. May Allah bless you in your life...dunia n akhirat (jangan lupa, kenangan lama waktu kita mula2 di Wangsa Melawati..waktu kalian masih bujang).May you will achieve what ever you want to achieve in life too. InsyaAllah.