Life is short, yesterday will never return..so bear your hardship with serenity and hold a good opinion of your LORD

Tuesday, November 10, 2009

Pergi

Innalillahi wainna ialaihi raji'un...dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali...berita yang kuterima daripada ayahanda di talian telefon mengocak ketenangan hatiku. Bapa saudaraku sebelah bapa, Pak Teh Abas, telah kembali ke Rahmatullah pada lebih kurang jam 12 tengah hari tadi. Hujan renyai mengiringi berita itu...entah satu kebetulan, atau apa pun...aku tetap merasakan kesedihan yang sememangnya patut dirasakan sebagai seorang anak saudara yang pernah rapat dengannya pada satu ketika dahulu. Memori  ketika  membesar di kampung, menggamit ingatanku (apatah lagi Idah, anak perempuan bongsu Pak Teh,  sebaya denganku menjadi teman sepermainan & pengapit pada hari perkahwinanku). Kupanjatkan doa..moga rohnya aman di persemadian, dilimpahkan rahmat belas kasihan PenciptaNya, di tempatkan di kalangan orang yang soleh. Ya Allah, kasihanilah hambaMu ini...ampunkanlah barang sebesar manapun kesilapannya sewaktu hayatnya dikandung badan. Lalu, kusedekahkan Fatihah..menjadi bekal di perjalanan abadi.

Iya. Aku tidak pulang ke kampung halaman di Kuala Pilah. MrF yang awal2 kuhubungi memberikan rasional; kami telah berjumpa Pak Teh pada Eidul Fitri yang lalu.Urusan kerja menidakkan keperluan untuk pulang menziarah dengan kadar segera. Pulang itu sebenarnya keutamaan buatku tapi Fqueen sedang menduduki peperiksaan akhir hari ini. JuniorF batuk dan selesema. Dia juga punya konserto di Auditorium Rehal (Islamic Art Museum) untuk dihadiri hujung minggu ini. Aku sendiri...mengepalai jawatankuasa majlis tahunan di sekolah.MrF dengan projek DEMC di Shah Alam.Tak mungkin cuti akan diberikan..! Huh, menimbang segala-galanya, di talian telefon kami putuskan...akan pulang pada Jumaat petang, menziarahi Mak Teh pada keesokannya dan kembali ke KL sebelum rehearsal JuniorF bermula.

Subhanallah... sesungguhnya 'kerja' Allah  penuh rahsia. Mengungkap pertemuan akhir kami pada eid lalu, hati menjadi sebak. Pak Teh amat uzur di atas kerusi roda..tapi punya kekuatan untuk bersama2 keluarganya meraikan kehadiran kami sekeluarga yang bertandang di rumahnya. Uzur dan dalam payah...cuba berbicara.  Tatkala aku mohon izin untuk pulang, sempatku berpesan agar Pak Teh bersabar atas 'rezeki' uzur-nya, sebak dia memohon maaf atas kesilapan yang lalu. Fqueen memberitahu lewat petang tadi, sejurus mendengar khabar pemergian 'atok' itu, dia masih teringat Tok Teh merenung wajahnya dalam2 sebelum perpisahan...Begitulah, kenangan yang akan tersimpan selama-lamanya dalam ingatan selagi ada izin Allah. Sesungguhnya, tiada apa yang mutlak menjadi milik kita..dan mati tidak mensyaratkan umur tua, kerana ajal itu tidak menjemput kita berdasarkan umur. Entah esok, entah lusa, siapa tahu, mungkin giliran kita pula yang terpilih mengadap Allah Azzawajalla....mohon belas kasihan dan rahmatNya, biarlah kematian kita tiba dalam keadaan yang 'mulus',  husnul khatimah yang disebut2 dalam doa..

Jumaat ini- MAC. Tugasku sehari dua ini lebih berkisar kepada persediaan MAC dan tugas2 aliran. Sementelah dua minggu lagi sesi persekolahan 2009 akan berakhir..tugas sebagai pendidik seolah2 mencapai 'kemuncak'. Insyallah, keputusan UPSR akan keluar pada minggu hadapan. Hari? Wallahua'lam...namun debarannya pasti sudah terasa. Tiada yang boleh meneka keputusan yang bakal keluar melainkan hanya doa agar 'pisang berbuah dua kali'...seperti kejayaan dalam UPSR 2008. Begitu juga halnya dengan calon2 STPM/SPM yang bakal menduduki peperiksaan pada Isnin & Rabu depan. Doa buat calon2 dua peperiksaan besar ini, moga kalian beroleh ketenangan menghadapi peperiksaan dan seterusnya merangkul kejayaan cemerlang agar kalian juga dapat berpergian kelak. Insyallah...pergi melanjutkan pelajaran sebagaimana yang dicita2kan oleh kedua2 'orang tua'...


No comments:

Post a Comment